Johor Bahru: Johor Darul Takzim kembali menemui sentuhan kemenangan selepas menang tipis 1-0 ke atas Perak yang hanya beraksi dengan sembilan pemain sepanjang babak kedua pada saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
Ketua jurulatih, Fandi Ahmad yang kecewa dengan kekalahan 3-2 di tangan Pahang, Selasa lalu melakukan rombakan di benteng pertahanan dengan penampilan pertama Aidil Zafuan Abd Radzak dan Mohd Faizal Mansor dalam kesebelasan utama bergandingan dengan Muslim Ahmad dan Azmi Muslim bagi menguatkan posisi itu selain turut meletak Zamir Selamat mengemudi gawang gol.
Malang buat skuad kendalian Mohd Azraai Khor Abdullah apabila terpaksa beraksi dengan sembilan pemain selepas Khairi Kiman dan Md Hisyamudin Md Shaari dilayangkan kad merah pada minit ke-38 dan minit ke-44 selepas kedua-dua pemain itu mengutip dua kad kuning kerana mengasari Daniel Guiza dan Simone Del Nero.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh skuad Harimau Selatan untuk merungkai jaringan sebaik babak kedua bermula apabila bola sepakan sudut Safiq pada minit ke-48 ditanduk kemas Aidil Zafuan untuk menewaskan penjaga gol, Mohd Farizal Marlias.
Skuad Seladang hampir menyamakan jaringan pada minit ke-53 selepas bola sepakan percuma Muhd Nazri Mohd Kamal ditanduk kemas pemain import, Rafael Souza Novais namun palang gol menjadi penghalang ketika Zamir sudah tertewas.
Bagaikan dahagakan jaringan, Fandi bertindak menajamkan barisan serangan apabila memasukkan Safee Sali dan mengeluarkan Azmi untuk mengubah formasi 3-4-3 namun masih gagal menambah gol tatkala skuad Seladang mengamal corak `berkampung' di kawasan sendiri sehingga tamat perlawanan.
Source
0 Comments:
Post a Comment
Terima Kasih Atas Budi Anda Semua.
Kalau Nak Komen,
Komenlah lagi tanpa rasa segan-silu.