Johor rangka pelan induk tingkat kualiti sukan


KERAJAAN Johor merangka Pelan Induk Hala Tuju Pembangunan Sukan sebagai langkah membudaya dan meningkatkan kualiti bidang sukan di negeri ini.
 
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Jais Sarday berkata, pelan yang akan dilaksanakan sehingga tahun 2030 itu akan diumumkan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dalam masa terdekat dengan merangkumi pembangunan atlet dan prasarana sukan sekali gus memartabatkan sukan sebagai satu industri.
 
"Pelan ini turut dilihat sebagai usaha Johor dalam mempersiapkan atlet dan kemudahan sukan bagi penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) pada tahun 2018. kemudahan sukan itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun ini," katanya di Nusajaya, semalam.

Jais berkata, antara strategi yang digariskan dalam pelan terbabit adalah menaik taraf kawasan Larkin sebagai 'Larkin Arena' yang akan menjadi hab industri sukan.
 
Beliau berkata selain stadium sedia ada, kawasan itu kelak akan dilengkapi beberapa prasarana baharu dan akan muncul sebagai pusat penjualan peralatan sukan.

Katanya, bagi mencapai matlamat pembangunan sukan juga Perbadanan Stadium Negeri Johor akan menguruskan Stadium Larkin, Stadium Hoki Taman Daya, gelanggang tenis dan badminton di Taman Perling, di Johor Baharu serta Kompleks Stadium Perbandaran Kluang.
 
"Stadium Perbandaran Kluang kini sedang dalam proses untuk dilengkapi dengan padang sintetik khas. Selain daripada itu, perancangan turut dilakukan bagi membina sebuah kolam renang bertaraf olimpik, lapang sasar menembak serta padang serba guna di kawasan Skudai Kiri," katanya.
 
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Jais yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Mahkota berkata pembangunan Iskandar Malaysia dan Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) dekat Kota Tinggi menyediakan banyak peluang pekerjaan khususnya buat golongan belia.
 
Beliau berkata, dianggarkan kira-kira 3,500 belia sudah mendapat peluang pekerjaan di Johor Premium Outlet, Taman Tema Keluarga Puteri Harbour dan Taman Tema Legoland Malaysia yang dibuka tahun lepas manakala 8,000 belia lagi bakal mendapat peluang sama di Pinewood Iskandar Malaysia Studios apabila ia beroperasi tahun ini.
 
PIPC apabila siap kelak pula katanya akan menyediakan kira-kira 40,000 pekerjaan kepada masyarakat dengan keutamaan diberikan kepada golongan muda. - Bernama

Source

1 comment:

Terima Kasih Atas Budi Anda Semua.
Kalau Nak Komen,
Komenlah lagi tanpa rasa segan-silu.