Bobby Gonzalez sah menyertai PDRM FC

♠ Dihantar oleh Abdul Hafiz dalam , at 11/22/2013 10:21:00 AM
KUCHING: Penjaring terbanyak Sarawak musim lalu, Bobby Gonzalez sah menyertai PDRM FC yang beraksi di Liga Perdana musim depan.

Meskipun masih berminat untuk kekal menyarung jersi Ngap Sayot, penyerang kelahiran Sabah itu terpaksa menelan hakikat khidmatnya tidak lagi diperlukan oleh Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS).

Sepanjang musim 2013, Bobby menjaringkan 28 gol termasuk tiga dalam Piala FA dan empat gol dalam Piala Malaysia ketika membawa Sarawak mara ke separuh akhir.

“Berat rasanya hati untuk meninggalkan pasukan Sarawak. Namun kehidupan perlu diteruskan dan saya membuat keputusan untuk meneruskan karier bersama PDRM FC,” katanya semalam.

“Saya perlu menerima hakikat bahawa khidmat saya tiada dalam perancangan FAS bagi musim 2014. Mungkin jodoh saya dengan Sarawak sampai di sini saja.”

Menurut Bobby, beliau terpaksa berubah angin memandangkan belum mendapat tawaran yang lebih baik daripada FAS setakat ini.
“Apa pun saya ingin merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu melonjakkan karier saya sehingga bergelar pemain negara.

“Tidak lupa juga kepada penyokong-penyokong Sarawak yang sentiasa memberi sokongan kepada saya dalam apa jua keadaan.”
Bobby mula menyertai Sarawak pada 2011 sebelum kembali ke Sabah pada musim 2012.

Beliau kemudiaannya kembali semula ke Sarawak pada 2013.
Sementara itu, pemain sayap Sarawak Zamri Morshidi tidak bimbang kedudukannya dalam kesebelasan utama goyah ekoran kemasukan ramai pemain baharu pada musim depan.

Sebaliknya, pemain berusia 30 itu melahirkan rasa gembira dan mengalu-alukan kedatangan kesemua rakan seperjuangan baharunya itu dalam pasukan.

“Saya tidak kisah bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama kerana apa yang penting adalah kejayaan pasukan Sarawak. Bagi saya ia persaingan yang sihat,” katanya semalam.

“Kemasukan ramai pemain baharu jelas memberi petanda kebangkitan semula Sarawak sekali gus memperlihatkan kesungguhan kita untuk memburu kejuaraan pada musim depan.”
Penyerang kelahiran Kuching itu menambah kehadiran ramai pemain baharu itu akan memantapkan lagi persediaan pasukan yang akan bersaing dalam Liga Super pada tahun depan.
“Pemain-pemain baharu pastinya akan memudahkan tugas ketua jurulatih Robert Alberts merangka strategi untuk memburu kemenangan pada setiap perlawanan.

“Ini juga akan memberi banyak pilihan terutama jika pemain mengalami kecederaan atau dipanggil menyertai pasukan kebangsaan,” tambahnya.

Setakat ini, Sarawak telah mengikat enam pemain baharu iaitu Akmal Rizal Ahmad Rakhli, 31, (penyerang), Reeshafiq Alwi, 31 (tengah), Mohd Lot Abu Hassan, 29 (penyerang), Mohd Rashid Aya, 22 (penyerang), S Chanturu, 25 (sayap) dan Mohd Fadzley Abdul Rahim, 26 (penjaga gol).

Turut diserap ialah tiga pemain tempatan, Florian Rison Laes (penjaga Gol), Morris Jagan (pertahanan) dan penjaring terbanyak Piala Juara-Juara Sarawak 2013 dari kelab SEG FC, Paul Sambang.
Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) bersetuju menyambung kontrak Zamri untuk tempoh setahun lagi dengan majlis memeterai perjanjian telah diadakan semalam.

Berita itu menepis laporan kononnya Zamri akan kembali ke Selangor PKNS pada musim depan atas dakwaan beliau hanya dipinjam ke Sarawak pada pertengahan musim lalu.

“Saya memang berhasrat untuk kembali ke Sarawak dan bukannya dipinjam seperti yang diperkatakan oleh sesetengah pihak.
“Memang benar PKNS mahukan saya kembali namun saya memilih untuk kekal di sini,” katanya.

Menurutnya, beliau turut menerima tawaran dari beberapa pasukan Liga Perdana namun memilih untuk kekal dengan Sarawak.

Sumber

1 orang cantik dan hensem respons:

Salam....Dah add anda sebagai follower.

Post a Comment

Terima Kasih Atas Budi Anda Semua.
Kalau Nak Komen,
Komenlah lagi tanpa rasa segan-silu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...